Monday, March 3, 2014

Berjalan-jalan Malam Bersama Saidina Umar Al-Khattab R.A


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pada suatu ketika, Saidina Umar Al Khattab R.A sedang berjalan-jalan pada waktu malam yang sangat dingin bersama hamba-hamba nya, dari jauh dia ternampak seorang wanita beserta dengan anak-anaknya tengah menghangatkan diri dengan unggun api. Jadi Saidina Umar R.A pun berjalan menghampiri wanita tersebut dengan niat untuk memeriksa apa yang sedang dilakukan oleh wanita itu. "Assalamualaikum orang-orang cahaya!" sapa Saidina Umar R.A. Jawab wanita itu "Waalaikumussalam". Saidina Umar R.A lalu bertanya "Boleh aku mendekati kamu?". Wanita itu menjawab "Jika dengan niat yang baik tidak mengapa, jika tidak baik usahlah mendekati". Lalu Saidina Umar R.A mendekati wanita itu yang mana wanita itu sedang bersama anak-anaknya yang sedang menangis. Saidina Umar R.A bertanya "Kenapa mereka menangis?". Wanita itu menjawab "Kami disini kerana cuaca yang sangat dingin dan kami sangat kelaparan". Jadi wanita itu sedang berkelana dan berhenti disitu kerana terlampau letih dan lapar serta tidak mampu lagi untuk berjalan. Mereka berkhemah di situ. Saidina Umar R.A bertanya lagi "Apa ini?". Saidina Umar R.A menunjukkan kepada periuk yang sedang berada di atas unggun api. Jawab wanita itu "Ini adalah air yang sedang mendidih. Aku telah meletakkan beberapa ketul batu dan merebusnya supaya aku dapat memberitahu kepada anak-anakku makanan akan masak. Mereka akan menunggu sehingga mereka akan tertidur kerana terlampau lapar. Biarlah Allah S.W.T menjadi saksi antara kami dan Umar!". 


Wanita itu tidak tahu bahawasanya dia sebenarnya sedang bercakap dengan Saidina Umar R.A, iaitu Khalifah Islam pada masa itu. Kemudian Saidina Umar R.A berkata "Semoga Allah S.W.T merahmatimu. Tetapi bagaimana caranya Umar bin Khattab akan dapat tahu keadaanmu?". Lalu wanita itu menjawab "Apa maksudmu? Bagaimana mungkin dia bertanggungjawab ke atas urusan kita sedangkan dia membiarkan kami kelaparan di sini? Dia adalah pemimpin kita! Dia bertanggungjawab ke atas urusan kita! Jadi bagaimana boleh dia membiarkan kami kelaparan disini sedangkan dia sepatutnya tahu?". Tersentap dengan jawapan dari wanita itu, Saidina Umar R.A bangun dan berlari ke tempat penyimpanan makanan bersama hamba-hambanya. Dia mengambil sekarung tepung dan beberapa lemak binatang dan dia memberitahu kepada hamba-hambanya supaya meletakkan semua barang-barang itu di atas belakang nya. Lalu hambanya berkata "Tidak apa lah Amirul Mukminin. Biar kami sahaja yang mengangkat nya". Jawab Saidina Umar R.A "Apakah kamu mahu mengendong dosa yang aku lakukan ini pada Hari Kiamat?. Naikkan ke belakang ku". 

Jadi selepas mengendong kesemua barang-barang tadi, Saidina Umar R.A kembali kepada wanita tadi. Dan dia mula memasak untuk wanita itu. Kata hamba-hamba yang mengikut nya "Aku melihat Amirul Mukminin membongkok untuk meniup api di bawah periuk untuk menguatkan kepanasannya, dan aku melihat asap menerpa-nerpa ke janggutnya." Bayangkanlah seorang Khalifah Islam yang begitu hebat, sanggup berbuat demikian demi tanggungjawab nya kepada rakyat. MasyaAllah. Sehinggalah makanan itu masak, Saidina Umar R.A sendiri yang menyuapkan anak-anak wanita tadi yang tertidur kelaparan. Sesudah itu, hamba-hambanya merapati Saidina Umar R.A dan bertanya "Apa yang masih perlu dilakukan?". Saidina Umar R.A tidak menjawab. Kata hambanya "Kami berdiri ditepi khemah bersama Amirul Mukminin sehingga anak-anak wanita tadi tidur dengan lena dan bahagia". 

Sebelum Saidina Umar R.A beredar, wanita itu berkata "Kamu lebih layak menjadi Khalifah Islam berbanding Umar Al Khattab!". Lalu jawab Saidina Umar R.A "Jangan berkata-kata melainkan sesuatu yang baik. Dan jika suatu hari nanti kamu menemui Khalifah Umar, maka kamu akan menemui aku di sana". Kemudian dia pergi meninggalkan wanita itu tanpa memberitahu identiti sebenar diri nya. Wanita itu berasa sangat gembira dan berdoa kepada nya, walhal dia tidak tahu bahawasanya Saidina Umar R.A lah yang dia keluhkan tadi. Begitulah betapa besarnya tanggungjawab seorang pemimpin kepada rakyat jelata. Jika rakyat hidup merana, tetapi pemimpin hidup senang dalam kemewahan, maka itulah yang akan menjadi saksi di hadapan Allah S.W.T kelak. Sama-sama kita mengambil iktibar dari kisah ini. InsyaAllah. 


1 comment: