Monday, February 17, 2014

Motivasi Bagi Mereka Yang Depresi


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Allah S.W.T. menciptakan kehidupan sebagai ujian, tidak akan ada seorang manusia pun yang tidak akan diuji oleh-Nya. Sekarang, yang sering terjadi kepada kita adalah, kita sering membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain, dan kita fikir mereka tidak diuji. Kita mungkin akan berkata "Wow, kehidupan aku sangat susah. Tapi dia mampu menjana pendapatan RM50000 sebulan, dia bebas masalah,  dia tidak diuji".

Inilah sifat manusia. Saya mempunyai cukup banyak pengalaman dengan orang-orang seperti ini. Malah saya juga pernah melaluinya. Mereka datang kepada saya dan bercerita tentang masalah mereka. Tetapi realitinya, orang kaya raya sekalipun mempunya masalah mereka sendiri begitu juga orang-orang yang miskin. Persoalannya, adakah mereka menghadapi masalah yang sama? Semestinya tidak! Tetapi biasanya, orang-orang miskin akan berfikir "Bagaimana orang-orang kaya akan menghadapi masalah sedangkan mereka mempunyai harta yang banyak?". Hakikatnya, masalah yang dihadapi oleh orang-orang yang kaya itu sama banyaknya dengan masalah yang dihadapi oleh orang-orang miskin. Inilah konsep keadilan yang ada pada Allah S.W.T. Tidak semestinya anda yang mempunyai harta yang banyak, atau mempunyai sahabat yang ramai, bermaksud akan akan terlepas dari masalah.

Jadi Allah S.W.T menciptakan pelbagai jenis ujian yang berbeza-beza sesuai dengan tahap kesenangan yang diberikan kepada setiap hamba-hamba-Nya. Adalah bodoh saya katakan jika pada pemikiran kita, dengan melihat kesenangan pada kehidupan orang lain dan kita berkata "Jika aku mempunyai sesuatu seperti nya, aku akan melakukan itu dan ini". Itu tidak masuk akal. Ini kerana, jika anda mempunyai sesuatu seperti orang yang tadi, Allah S.W.T akan memberikan ujian yang lain kepada anda. Tidak sama ujiannya seperti orang yang mempunyai sesuatu tadi. Dan anda mungkin gagal dalam ujian Allah S.W.T. MasyaAllah.

Allah S.W.T memberikan kepada kita apa sahaja yang Dia mahu. Kita akan ditanyakan oleh Allah S.W.T ke jalan manakah telah kita habiskan harta yang telah Dia berikan. Jika Dia berikan kita kesihatan, kita akan ditanya, bagaimana kita gunakan kesihatan itu? Untuk dekatkan diri kepada-Nya kah? Adakah untuk melakukan ibadah? Atau adakah digunakan nikmat kesihatan itu untuk melakukan maksiat? Tetapi jika kita ini sentiasa sakit, Allah S.W.T menarik nikmat kesihatan itu daripada kita, maka kita tidak akan ditanyakan tentang itu. Mudahkan? Contoh lain, Allah S.W.T memberikan kita nikmat kekayaan, harta, duit yang banyak, jadi soalan yang akan ditanyakan oleh Allah S.W.T, bagaimana cara kita mendapatkan kekayaan itu? Dengan cara halalkah? Kemana pula kita belanjakan harta itu? Bayar zakat atau tidak dengan menggunakan harta itu? Tetapi jika Allah S.W.T tidak memberikan kita harta kekayaan, kita ini golongan yang fakir miskin, maka Allah S.W.T tidak akan bertanya mengapa anda tidak mempunyai harta kekayaan.

Begitulah pertanyaan Allah S.W.T kepada kita di Hari Penghakiman nanti. Semuanya jelas. Jadi tidak perlulah kita melihat kesenangan pada kehidupan orang lain, dan kita bertanya pula kepada diri sendiri mengapa Allah S.W.T tidak menjadikan kehidupan kita senang seperti kehidupan orang lain. Kita seharusnya berasa syukur dan selesa dengan kehidupan yang telah Allah S.W.T berikan kepada kita andai kita adalah golongan orang yang susah dan miskin kerana kekayaan juga adalah ujian dari Allah S.W.T. Itu adalah pasti. Kesalahan yang terbesar yang akan kita lakukan dalam kehidupan kita adalah kita mengeluh dengan nikmat yang kecil atau sedikit (bagi kita) yang telah Allah S.W.T berikan kepada kita. "Mengapa aku tidak senang seperti dia?", "Mengapa Allah jadikan aku miskin tetapi dia kaya?", "Mengapa anak aku tidak secantik, atau tidak secerdik anak dia", inilah contoh-contoh soalan yang selalu kita persoalkan yang mana ini tidak sedikit pun tidak memberi manafaat kepada kita malah menambah kemurkaan Allah S.W.T kepada kita kerana tidak bersyukur. Ini bererti kita gagal dalam ujian-Nya.

Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T meminta penjagaan dari lidah yang sentiasa mengeluh. Orang-orang yang sentiasa mengeluh, mereka lah orang-orang yang tertipu, kerana mereka mulai menyalahkan dunia kerana keadaan mereka. Kita tidak menyedari bahawasanya Allah S.W.T memberikan kesusahan ini kepada kita supaya kita mengambil kesempatan, mengambil peluang untuk mengubah perkara-perkara yang biasa menjadi sesuatu yang istimewa disisi Allah S.W.T. Sama-sama lah kita fikirkan. InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment