Tuesday, February 11, 2014

Berkenalan Dengan Munkar Dan Nakir



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selepas nyawa kita ditarik oleh Malaikat Maut, sejurus sahaja mayat kita diletakkan di dalam kubur, lalu kubur akan memeluk kita. Pelukan itu boleh jadi satu pelukan selamat datang yang sangat menyenangkan atau boleh jadi sebuah pelukan yang sangat kasar sehingga boleh menghancurkan tulang-temulang kita. Kubur akan memeluk kita. Kubur adalah gelap. Tersangat lah gelap. 

Pada saat itu, muncul lah dua malaikat yang paling buruk diciptakan oleh Allah S.W.T yang diberi nama Munkar dan Nakir akan mendatangi kita. Kedua-dua malaikat ini akan menyuruh kita untuk duduk. Ketika mereka menyuruh kita duduk, demi Allah wahai saudara-saudari sekalian, mari kita sama-sama bayangkan, betapa takutnya kita, betapa kuatnya jantung akan berdegup, kita menghadap dua makhluk Allah yang diciptakan untuk menyeksa kita di alam kubur. Allah S.W.T menciptakan dua malaikat ini dalam keadaan yang sangat menakutkan, yang mana kita tidak pernah dan tidak dapat bayangkan dengan fikiran kita. Lalu bertanya lah Munkar dan Nakir kepada kita dengan suaranya yang kuat seperti petir yang menyambar dan mata mereka yang merah garang seperti halilintar "SIAPA TUHANMU? KEPADA SIAPA KAMU TUNDUK?" Orang mukmin akan menjawab "Tuhanku adalah Allah". Mereka bertanya lagi "APA JALAN HIDUPMU?" Orang mukmin akan menjawab "Jalan hidupku adalah Islam iaitu tunduk kepada Allah". Bertanya lagi Munkar dan Nakir "SIAPA UTUSAN YANG DIUTUSKAN KEPADAMU? Orang mukmin menjawab "Dialah Muhammad S.A.W". Lalu mereka berkata "Kamu benar". Kemudian mereka akan memerintahkan kubur supaya menjadi luas, dan kemudiannya kubur akan berubah menjadi taman syurga dan kita akan merasa sejuk dan selesa. 

Tapi sebaliknya, mereka akan menundukkan kita dan bertanya kepada kita soalan yang sama tetapi kita tidak dapat menjawab. Kita akan berkata "Aku tidak tahu". Kesemua pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir tadi, jika kita ini seorang yang ingkar, nauzubillah, akan kita akhiri dengan "Aku tidak tahu!". Lalu dua malaikat itu akan berkata "KAMU BERBOHONG!" dan diperintahkan kubur supaya terus menghimpit kita dan kubur menjadi sempit menjadi gelap sehingga tulang-temulang kita patah riuk dan remuk. Dan mereka akan memerintahkan kubur supaya menjadi lubang neraka supaya kubur kita dipenuhi dengan api sehingga hari kiamat. MasyaAllah. Semoga kita beroleh iktibar dan pengajaran. InsyaAllah. 


No comments:

Post a Comment