Friday, February 28, 2014

Cinta Saidina Abu Bakar R.A Kepada Rasulullah S.A.W


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Berapa umur Nabi Muhammad S.A.W ketika beliau berhijrah? 23 tahun? 30 tahun? Adakah beliau menaiki kenderaan atau tunggangan? Adakah beliau bergerak dari Mekah ke Madinah dengan ribuan kaum kafir sedang mengekori beliau untuk membunuh beliau pada umur 35 tahun? Berapa umur beliau ketika itu? 53 TAHUN! Cuba tunjukkan kepada saya seorang tua yang berumur 53 tahun yang mampu berjalan berbatu-batu jauhnya dalam keadaan panas gurun tanpa jatuh pengsan! Seorang lagi sahabat paling rapat dengan Rasulullah, yang menemani Rasulullah, berapa umurnya? Dia berumur 51 tahun. Dialah Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A, sahabat paling rapat dengan Rasulullah S.A.W juga pencinta Rasulullah yang sangat agung. 

Seorang berumur 53 tahun manakala seorang lagi berumur 51 tahun. Bagi kita umur ini sudah setara dengan umur datuk yang tua. Mereka berdua orang tua yang mengharungi gunung dan padang pasir dalam keadaan panas yang terik. Anda bayangkan. Tapi disini Abu Bakar R.A berkata "Wahai Rasulullah, kita tidak akan dapat lari dari musuh-musuh yang mengejar kita, kita mesti menyusun strategi. Kita perlu bersembunyi dalam salah satu gua yang ada disini". Lalu Rasulullah S.A.W bersetuju dengan pendapat Abu Bakar R.A. Kemudian Abu Bakar berkata lagi "Tetapi Rasulullah, ada satu masalah. Kemana sahaja kita pergi musuh-musuh tetap akan dapat mengekori kita kerana mereka nampak akan kesan tapak kaki kita berdua. Jadi kita mesti menghilangkan salah satu pasang tapak kaki ini supaya mereka tidak mengekori kita lagi". Lalu Rasulullah S.A.W bertanya "Wahai Abu Bakar, jadi apa pendapat mu?". Jawab Saidina Abu Bakar R.A "WAHAI RASULULLAH, PELUKLAH AKU DARI BELAKANG, ENGKAU NAIKLAH KE ATAS BELAKANGKU, BIAR AKU SAHAJA BAWA KAMU MENDAKI GUNUNG INI". MasyaAllah. Gunung ini diberi nama Ghar Al Thawr, sebuah gunung yang sangat curam. 

Saidina Abu Bakar R.A bukanlah seorang yang gagah perkasa. Tubuhnya kurus, dan dia seorang yang lemah. Tetapi kerana cintanya dia kepada Rasulullah S.A.W, dia mengendong Rasulullah S.A.W sambil berdoa kepada Allah S.W.T menuju ke gua di atas Gunung Ghar Al Thawr. Biar saya beritahu anda semua yang berat Rasulullah S.A.W itu bukan sahaja terdiri dari daging, darah dan tulang beliau, tetapi yang paling berat pada batang tubuh Nabi Muhammad S.A.W adalah KENABIANNYA. Berat badan beliau terdiri dari Wahyu Allah S.W.T. 

Satu kisah dimana ketika umat Islam berjaya menakluk Kota Mekah, Rasulullah S.A.W masuk ke dalam Kaabah, menggunakan tongkatnya, beliau menghancurkan semua berhala yang ada didalam Kaabah. Tetapi ada satu berhala yang berada di tempat yang agak tinggi di mana Rasulullah S.A.W tidak dapat mencapainya. Lalu Saidina Ali R.A yang gagah perkasa berkata "Wahai Rasulullah, naik lah ke atas ku supaya kamu dapat mencapai berhala itu". Seperti yang kita sedia maklum, Saidina Ali R.A adalah seorang lelaki yang sangat perkasa. Tubuh badannya sasa. Dengan kata lain, dia jaguh kelas berat bagi seorang peninju. Bayangkan dalam Perang Khaibar, Saidina Ali R.A mencabut pintu istana musuh dengan sebelah tangan dan menjadikan pintu besar istana itu sebagai perisainya. Tetapi apabila dia meminta untuk mengendong Nabi Muhammad S.A.W, lantas Nabi Muhammad S.A.W berkata "Wahai Ali, sesungguhnya badanmu tidak mampu untuk menanggung beratnya Nubuwwah (Kenabian)". Tetapi selemah-lemah Saidina Abu Bakar R.A, dia mampu untuk mengendong Rasulullah S.A.W serta berat Kenabian yang ada pada beliau.

Jadi setelah beberapa lama mendaki, Abu Bakar R.A dan Rasulullah S.A.W sampai ke sebuah gua. Lalu Abu Bakar R.A berkata kepada Rasulullah S.A.W "Wahai Rasulullah, kamu duduk lah dahulu di luar, biar aku masuk dahulu ke dalam gua ini". Abu Bakar R.A kemudiannya masuk ke dalam gua itu, dia melepaskan serban yang dipakai nya, dan dia membersihkan gua itu supaya kekotoran yang ada di dalam gua itu tidak mengotori Rasulullah S.A.W. Kemudian dia mencarik-carikkan serban nya dan sedikit pakaian nya lalu di tutup segala lubang yang ada di dalam gua itu supaya tidak ada sesuatu yang mungkin akan keluar dari lubang-lubang itu dapat mencederakan Rasulullah S.A.W. Setelah selesai Abu Bakar R.A. menjemput Rasulullah S.A.W masuk untuk berehat di dalam gua itu. Abu Bakar R.A kemudian melihat kepada pintu gua yang agak luas yang belum di tutup. Rasulullah S.A.W seraya berkata "Jangan khuatir wahai Abu Bakar". Dengan izin Allah S.W.T datang labah-labah lalu membuat sarangnya di pintu gua itu dan menutupi keseluruhan pintu gua tersebut.

Apabila mereka berdua bersiap untuk duduk berehat, Abu Bakar R.A ternampak akan satu lubang yang mana dia terlepas pandang untuk menutupnya. Pada ketika itu, sudah tidak ada lagi pakaian atau lebihan kain yang ada pada Abu Bakar R.A untuk menutup lubang itu. Cepat-cepat ditutup lubang itu menggunakan sebelah kakinya. Setelah dia duduk, Abu Bakar R.A berkata kepada Rasulullah S.A.W "Wahai Rasulullah, kamu pastinya sudah letih. Kamu tidur sajalah di pangkuanku". Saidina Abu Bakar R.A mempelawa Rasulullah S.A.W untuk tidur dipangkuannya sedangkan dia telah mengendong Rasulullah S.A.W mendaki gunung yang curam itu. Siapa yang sepatutnya letih? MasyaAllah. Inilah kecintaan paling tinggi. Inilah tahap kecintaan pada Rasulullah yang sangat luar biasa yang ada pada Saidina Abu Bakar R.A. Rasulullah S.A.W kemudiannya tertidur di pangkuan Saidina Abu Bakar R.A.

Dan ini adalah kisah yang sangat terkenal, dimana ketika Rasulullah S.A.W tertidur dipangkuan Abu Bakar R.A, seekor ular ingin keluar dari lubang yang ditutup oleh Abu Bakar R.A dengan menggunakan kakinya. Ular itu mematuk kaki Abu Bakar R.A dan racun ular tersebut menjalar ke seluruh badan nya. Abu Bakar R.A dapat merasakan racun ular itu bergerak ke seluruh tubuhnya tetapi dia tetap bertahan. Dia tidak bergerak dari tempat duduknya kerana jika dia bergerak, dia akan membangunkan Rasulullah S.A.W terjaga dari tidur beliau. Jadi Abu Bakar R.A, kerana cintanya kepada Rasulullah S.A.W, seolah-olah telah bersedia untuk mati disebabkan racun ular yang mematuknya itu, asalkan Rasulullah S.A.W dapat berehat di pangkuannya dan tidak terjaga dari tidur beliau. Kerana tidak dapat menahan kesakitan racun ular itu, maka air mata Saidina Abu Bakar R.A bercucuran keluar dari matanya dan terjatuh pada wajah mulia Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W kemudiannya terjaga dan bangun. Dia melihat Abu Bakar R.A lalu bertanya "Mengapa kamu menangis wahai Abu Bakar?". Jawab Abu Bakar R.A "Wahai Rasulullah, ada sesuatu telah menggit kaki ku tadi dan aku dapat merasakan racun ia di seluruh tubuhku". Lalu Rasulullah S.A.W meminta Abu Bakar R.A menunjukkan kaki nya yang dipatuk ular tadi, dan Rasulullah S.A.W meletakkan sedikit air liur beliau yang sangat diberkati pada tapak kaki Abu Bakar R.A. Tidak lama kemudian, kesakitan pada badan Abu Bakar R.A beransur hilang dan dia menjadi kembali bertenaga. Kata Abu Bakar R.A "Wahai Rasulullah, kaki ku yang tadinya lemah, kini aku rasakan ianya sekuat besi". Inilah mukjizat yang Allah S.W.T berikan kepada Kekasihnya, Rasulullah S.A.W.

Adakah lagi manusia yang mampu mencintai Rasulullah S.A.W seperti Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A? Mampukah kita? Sama-samalah kita mengambil pengajaran dari kisah ini. Cintailah Rasullullah S.A.W dengan sepenuh hati kita. Mampu tidak mampu itu kita tidak tahu. Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah S.W.T. Semoga kita beroleh syafaat Rasulullah di Padang Mahsyar kelak. InsyaAllah. 




No comments:

Post a Comment