Wednesday, February 12, 2014

Besarnya Cinta Thawban R.A Kepada Rasulullah S.A.W


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Ada seorang hamba, iaitu seorang budak yang bernama Thawban R.A, yang mana dia telah dibebaskan oleh Rasulullah S.A.W dari menjadi hamba. Thawban sangat gembira kerana Rasulullah S.W.T membebaskan nya yang mana setiap kali dia memandang Rasulullah S.A.W, ia akan membuatkan hari-hari Thawban sangat bermakna dan sangat ceria. Thawban R.A akan cuba untuk memandang Rasulullah S.A.W beberapa kali dalam sehari. Hanya dengan melihat wajah Rasulullah S.A.W, keimanan Thawban R.A akan bertambah, segala masalah dan kesulitan yang dihadapi nya akan hilang dengan mudah. MasyaAllah. Betapa besarnya cinta Thawban R.A kepada Rasulullah S.A.W.

Pada suatu hari, ketika Thawban R.A bertemu Rasulullah S.A.W untuk kali pertama pada hari itu, Rasulullah S.A.W terperasan akan wajah Thawban R.A yang nampak kemerah-merahan dan kelihatan sangat sedih. Lalu Rasulullah S.A.W bertanya "Wahai Thawban, kenapa dengan kamu? Hari ini kamu kelihatan sangat murung dan begitu sedih?". Thawban RA. berkata "Wahai Rasulullah S.A.W, tidakkah kamu tahu bahawasanya aku sangat mencintai kamu? Aku perlu untuk melihatmu setiap hari. Kamu tidak tahu akan perasaanku. Aku perlu melihatmu setiap hari kerana setiap kali aku melihatmu, aku akan menjadi senang dan ceria. Ya Rasulullah, aku sangat gembira kerana dapat melihatmu sekarang, tetapi bila aku tidak melihatmu, aku akan memikirkan tentang kematian dan akhirat. Dan aku berfikir, apabila kamu di ambil oleh Allah S.W.T ke akhirat nanti, kamu akan berada di syurga yang paling tinggi malah tempat yang paling tinggi disisi Allah, berada disisi para anbiyya, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Sedangkan aku tidak akan dapat melihatmu lagi, kerana jika aku masuk syurga sekalipun, aku akan berada di tingkat syurga yang bawah. Jadi apa yang akan terjadi padaku? Bahkan aku juga mungkin tidak dapat masuk syurga. Dan jika ini yang terjadi, maka aku tidak akan dapat melihatmu lagi!".

Demi Allah, bertepatan dengan saat Thawban R.A mengucapkan kata-kata itu kepada Rasulullah S.AW, lalu malaikat Jibrail A.S turun dengan membawa wahyu dari Allah S.W.T yang berbunyi :
"Barangsiapa yang mengikut Allah S.W.T dan Muhammad S.A.W, maka dia akan menjadi sahabat Rasulullah S.A.W di dalam syurga. Dan mereka diberikan sahabat berupa nabi-nabi, orang-orang yang saleh dan orang-orang yang mati syahid". 
(An Nisa : 69)

Subhanallah. Ketika Thawban R.A mendengar ayat ini, hilang segala keresahan di dalam hatinya. Dia tersenyum kembali. Dan dia seringkali memberitahu orang ramai "Apakah kamu tahu bahawasanya ayat ini diwahyukan kerana diriku? Apakah kau tahu betapa cintanya aku kepada Rasulullah S.A.W dan ketika aku risau jika aku tidak dapat melihat beliau lagi, Jibrail A.S. turun dengan membawa wahyu ini dan mengingatkan aku supaya jangan risau, jika aku ingin sentiasa bersama Rasulullah S.A.W, jika aku ingin menjadi sahabat Rasulullah S.A.W di akhirat nanti, yang harus kita lakukan hanyalah menurut segala perintah Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka kita akan menggapai darjat itu. Semoga Allah memberikan kita semua darjat itu".

Lihatlah saudara-saudari sekalian, betapa besarnya cinta Thawban R.A kepada Rasulullah .S.AW sehinggakan Allah S.W.T menurunkan wahyu untuk memperingati orang-orang beriman, yakni orang yang sangat cintakan Allah dan Rasul, supaya tidak perlu bimbang. Kerana selagi mana mereka menuruti segala perintah Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan-Nya, tempat mereka pasti disisi para Nabi, orang-orang yang soleh dan orang-orang yang mati syahid di syurga kelak. Sama-sama lah kita meningkatkan tahap kecintaan kita kepada Allah dan Rasul kesayangan kita. Sentiasa lah berusaha supaya kita dapat menjadi sahabat Rasulullah S.A.W di syurga nanti. InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment