Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Ini adalah kisah mengenai seorang pahlawan Islam terulung dan terhebat dalam sejarah Islam. Khalid Al Walid R.A, salah seorang sahabat Rasulullah yang digelar Saifullah atau Pedang Allah kerana kehebatan berperang memerangi musuh-musuh Islam yang ada padanya dan tidak terkalahkan. Dia adalah pedang Allah dan mana mungkin pedang Allah dapat dikalahkan tetapi sayangnya Khalid Al Walid menghembuskan nafas nya di pembaringan kerana tidak mendapat mati syahid.
Persoalannya, kenapa Khalid Al Walid tidak mendapat kenikmatan mati syahid? Bukankah Rasulullah S.A.W pernah bersabda tentang orang mati syahid? Bahawa jenazah orang yang mati syahid tidak perlu dimandikan, kerana darah mereka akan menjadi saksi dan bersyahadah di hari kiamat nanti? Saya bersumpah demi Allah Yang Maha Agung, jika Khalid Al Walid lebih baik dari jutaan orang pada zaman nya, maka dia adalah lebih baik dari berbillion manusia pada zaman sekarang. Dan kenyataan nya adalah, tidak akan muncul lagi orang yang boleh menyamai Khalid Al Walid R.A, Si Pedang Allah.
Sebagai contoh untuk menunjukkan kehebatan Khalid Al Walid R.A, sebelum dia memeluk agama Islam, dia pernah bertarung dalam perang untuk menentang Rasulullah S.A.W dan para sahabat, dan dia jugalah yang telah melukai Rasulullah S.A.W. Satu-satunya orang yang mengalahkan umat Islam selagi Rasulullah S.A.W berada bersama mereka. Tapi bukan kerana ini dia menjadi terkenal. Kita mengenali dia kerana Rasulullah S.A.W memberikan dia gelaran yang sangat istimewa, Saifullah iaitu Pedang Allah. Ini kerana taktik peperangan yang digunakan oleh nya sebelum dia memeluk Islam juga telah diguna selepas dia memeluk Islam dan tidak mungkin kita dapat meniru taktik perang nya pada masa sekarang atau pada masa hadapan.
Seorang manusia, yang setelah wafatnya Rasulullah S.A.W, dan Saidina Abu Bakar R.A wafat, dan Saidina Umar Al Khattab R.A adalah khalifah, Saidina Umar R.A berkata kepada Khalid Al Walid "Wahai Khalid, aku ingin kamu pergi ke Parsi atau Roma, berapa banyak perajurit yang kamu perlukan?". Khalid Al Walid berkata "500 perajurit". Kemudian Saidina Umar R.A mengingatkan nya "Ya Khalid, mereka mempunyai lebih kurang 100 000 perajurit". Lalu Khalid Al Walid membalas "Kalau begitu, tambahkan 500 lagi perajurit". Saidina Umar R.A kemudian menyuruh Khalid membawa 10 000 perajurit bersamanya tetapi Khalid tidak mahu. Dia berkata "Orang-orang kafir itu, Allah hanya memberikan potongan kecil dari dunia kepada mereka, tetapi Allah memberikan kita akhirat. Dan demi Allah, jika aku pergi ke sana dengan 10 orang beriman, maka kami akan kembali dengan seluruh kekuatan mereka, kami akan pulang dengan kemenangan". Ini lah keyakinan yang ada pada lelaki Muslim yang sejati. Kerana para sahabat Rasulullah S.A.W hanya memikirkan dunia ini seumpama setitik air yang jatuh ke atas tanah yang kering pada musim panas. Berapa lama titisan air itu dapat bertahan? Kerana hati mereka tidak terpikat langsung dengan nikmat dunia, mereka hanya dahagakan nikmat akhirat. Lalu Allah S.W.T berikan mereka Izzah, Allah berikan mereka kekuatan dan mereka sudah pun merasakan kekuatan itu sebelum mereka bertemu dengan musuh-musuh Islam. Dan dengan sekelompok perajurit yang sedikit itu jika dibandingkan dengan perajurit-perajurit musuh Islam, mereka kembali dengan kemenangan. MasyaAllah.
Pada 4 tahun terakhir sebelum kematian Khalid Al Walid R.A, dia diturunkan pangkat dan tidak dibenarkan untuk berperang. Ini adalah satu cabaran terbesar bagi nya. Dan Khalid memberikan nama kepada tahun-tahun dia tidak berperang itu sebagai 'Tahun-tahun wanita'. Riwayat mengatakan, dalam 4 tahun itu dia tidak membuang masanya walaupun sebentar. Selepas Subuh dia membaca Al-Quran sehingga waktu Zohor. Dia bertekad untuk mempelajari Al-Quran kerana sepanjang hidupnya dia hanya berperang.
Menjelang kematiannya Khalid Al Walid berkata kepada para sahabat "Selepas Umar memerintahkan supaya aku tidak dibenarkan untuk berperang lagi, pada mulanya aku berasa kecewa. Tapi sekarang baru aku tahu bahawasanya Umar telah melakukan keputusan yang tepat. Kerana Umar hanya inginkan yang khair (baik) untuk orang-orang yang beriman dan aku tidak berasa kecewa pada Umar R.A". Saat malaikat maut menjemputnya, Khalid Al Walid menunjukkan tangannya, kakinya, dadanya kepada para sahabat. Tidak ada sejengkal jarak pun di tubuh nya melainkan bekas luka kesan dari tikaman pedang dan anak panah. Dia berkata "Lihatlah pada aku. Aku telah bertempur dalam beratus-ratus peperangan. Tapi aku akan mati di pembaringan?".
Seseorang berkata kepada Khalid Al Walid "Wahai Khalid, tidakkah kamu tahu, kenapa Rasulullah S.A.W memberikan kamu nama Pedang Allah? Maka mana mungkin kamu gugur di medan pertempuran. Jika kamu gugur di medan pertempuran bermakna telah patah lah pedang Allah di tangan orang-orang kafir dan perkara sebegitu tidak mungkin berlaku kerana pedang Allah tidak mungkin akan patah".
"Janganlah kamu fikir bahawasanya orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki" (Ali-Imran: 169)
Pakaian Khalid Al Walid mungkin tidak dapat menjadi saksi kepada kematiannya. Darah Khalid Al Walid juga mungkin tidak dapat menjadi saksi kepada kematiannya. Tetapi Demi Allah, setiap orang yang mati syahid, para mujahidin yang yang gugur syahid di dalam umat kita sekarang ini akan menjadi saksi kepada Khalid Al Walid. Kerana Khalid Al Walid R.A adalah sumber inspirasi kepada para mujahidin untuk berjihad di jalan Allah.
Ada riwayat mengatakan, Khalid Al Walid R.A telah meninggalkan seekor kuda dan pedangnya dan kedua-dua itu telah dikirimkan kepada Saidina Umar R.A. Apabila Saidina Umar R.A melihat kedua-duanya itu dia menangis. Dapatkah kita bayangkan kuda perang milik Khalid Al Walid R.A? Dapatkah seseorang memenuhi hak kuda perang itu?Tidak! Bayangkan pedang milik Khalid Al Walid R.A. Dapatkah seseorang memenuhi hak pedang itu? Tidak! Kerana Khalid Al Walid R.A berada pada tingkat yang berbeza. Pada hari kematian Khalid Al Walid R.A, para wanita dari Bani Makhzum keluar dari rumah masing-masing dan menangis, sedangkan Saidina Umar R.A mempunyai aturan untuk tidak membenarkan wanita menangis pada hari kematian. Seseorang datang kepada Saidina Umar R.A dan berkata "Wahai Umar, wanita dari Bani Makhzum menangisi Khalid Al Walid". Lalu Saidina Umar R.A berkata "Semoga ibumu kehilangan dirimu, kerana untuk orang seperti Khalid Al Walid, orang-orang yang menangis haruslah menangis".
Demi Allah, jika kita dapat melihat Khalid Al Walid R.A, dia adalah Frederick The Great, Genghis Khan, Napoleon dan Temur yang digabungkan menjadi satu. Malah lebih baik dari itu. Dan tidak akan muncul lagi Khalid Al Walid yang lain. Seperti penyaksian yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar R.A ke atas Khalid Al Walid "PARA WANITA TIDAK AKAN MELAHIRKAN ORANG SEPERTI KHALID AL WALID LAGI!".
No comments:
Post a Comment