Wednesday, February 19, 2014

Mus'ab Ibn Umair R.A, Duta Islam Pertama Yang Sangat Tampan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Sebut sahaja nama Mus'ab Ibn Umair, semua penduduk di Mekah kenal akan nya. Dia adalah bunga kepada kaum Quraisy sebelum dia memeluk Islam. Mus'ab Ibn Umair mempunyai segala-galanya dalam kehidupannya. Wajahnya yang sangat tampan, tubuhnya yang sentiasa dibaluti sutera yang berkualiti tinggi, bau haruman yang dipakainya mampu membuat para gadis-gadis di Kota Mekah jatuh hati kepadanya. Sehinggakan gadis-gadis di Mekah pada ketika itu sanggup beratur di tepi-tepi jalan menanti kehadiran Mus'ab Ibn Umair dengan niat untuk memikat nya. Mus'ab Ibn Umair dilahirkan dalam keluarga yang sangat kaya dan dia sangat dimanjakan oleh keluarganya.

Jadi apa yang berlaku kepada pemuda yang sangat tampan, segak, karisma ini ialah, ditakdirkan suatu hari dia bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Mus'ab Ibn Umair mendengar ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Maka pada pertemuan itulah telah memperkenalkan Mus'ab Ibn Umair dengan dunia Islam. Dia memeluk Islam kerana cinta kepada ajaran Islam. Dia cintakan Rasulullah S.A.W. Selepas memeluk Islam, hidup Mus'ab Ibn Umair berubah sepenuhnya. Hidupnya yang dulunya sangat dimanjakan oleh ibunya, selepas memeluk Islam dia dibuang oleh keluarganya. Hidupnya yang dulu sangat kaya raya, selepas memeluk Islam dia menjadi fakir miskin.

Suatu hari Rasulullah S.A.W duduk bersama para sahabat di dalam masjid. Lalu Rasulullah S.A.W ternampak Mus'ab Ibn Umair masuk ke dalam masjid. Rasulullah S.A.W menangis. Rasulullah S.A.W menangis melihat akan Mus'ab Ibn Umair yang berpakaian serba kekurangan. Pakaiannya sangat buruk dan lusuh malah terdapat tampalan-tampalan kulit binatang yang digunakan untuk menutup tempat yang koyak. Rasulullah S.A.W berkata "Subhanallah. Beberapa tahun yang lepas, aku melihat anak muda ini, dialah yang paling tampan, dialah yang paling segak berpakaian, dialah anak muda yang paling mewah". Dan pengakhirannya Mus'ab mendermakan segala kemewahan yang ada pada dirinya untuk Islam.

Satu kelebihan yang ada pada Mus'ab Ibn Umair ini adalah kebijaksanaan dia dalam berdakwah. Lembut tutur kata nya, bernas isi-isi yang disampaikan nya, mudah untuk di fahami oleh orang bukan Islam. Dialah Duta Islam Yang Pertama. Satu-satunya pemuda yang disuruh oleh Rasulullah S.A.W untuk berdakwah ke Madinah. Dan apabila Rasulullah S.A.W tiba dari Mekah Ke Madinah, seramai 8000 orang Islam (yang baru memeluk Islam) menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W dengan menyanyikan 'Tala'al Badru 'Alaina Minsa Ni Ya Til Wada'. 8000 SAUDARA BARU ISLAM! Dari mana datang nya mereka. Mereka lah orang-orang Madinah yang telah memeluk Islam hasil dakwah Mus'ab Ibn Umair. MasyaAllah.

Pada perang Uhud, Mus'ab Ibn Umair R.A adalah pemegang bendera Islam. Sambil memegang bendera, dia berperang memerangi kaum musyrikin. Mempertahankan umat Islam, mempertahankan Rasulullah S.A.W dari dicederakan musuh-musuh. Mus'ab tidak terlepas dari terkena tikaman dan hunusan pedang musuh-musuh Islam. Ada riwayat yang mengatakan, terdapat 70 kesan tikaman pada badan Mus'ab Ibn Umair. Mus'ab mengangkat panji Islam dengan tangan kanan nya, tetapi tangan kanan nya dicantas dengan pedang oleh musuh. Lalu diangkat pula panji itu dengan tangan kirinya, dan tangan kirinya pula diputuskan oleh musuh. Jadi apa yang dilakukan oleh Mus'ab Ibn Umair, dia mendakap panji Islam itu kedada menggunakan lengan yang masih ada, dan selepas itu dia gugur sebagai syahid selepas tikaman pedang musuh yang bertubi-tubi.


Mus'ab Ibn Umair mati dalam kedaan yang sangat miskin. Para sahabat mencari diseluruh rumah Mus'ab Ibn Umair jikalau ada kain untuk digunakan untuk digunakan sebagai kain kafan. Yang ada dirumah kosong Mus'ab Ibn Umair hanyalah sehelai kain yang sangat sedikit . Digunakan kain itu untuk menutup jenazah nya tetapi tidak mencukupi. Jika ditutup kepalanya, maka akan ternampak kakinya. Jika ditutup kakinya, maka akan ternampak akan kepalanya. Rasulullah S.A.W berkata "Wahai Mus'ab Ibn Umair, kami tidak menemui apa-apa untuk menutup badanmu. Kamu mendermakan seluruh hartamu ke jalan Allah. Disyurga tempat kita bertemu". Abdurrahman Ibn Auf R.A, salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang kaya, suatu ketika menangis ketika sedang untuk menyuap makanan ke mulut. Lalu ditanya oleh hambanya "Kenapa tuan menangis?". Lalu jawab Abdurrahman Ibn Auf "Aku teringat akan Mus'ab Ibn Umair. Telah mati Mus'ab Ibn Umair dan dia itu jauh lebih baik berbanding aku. Tetapi hari ini aku makan dalam keadaan yang mewah". Semoga kita beroleh pengajaran dari kisah sahabat Rasulullah yang sangat mulia ini. InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment