Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Allah S.W.T menciptakan malaikat Jibrail A.S dengan bentuk yang sangat cantik. Dan Allah S.W.T menciptakan pula 600 pasang sayap yang sangat besar dan panjang dan sayapnya itu meliputi kawasan timur hingga ke barat. Setelah diciptakan, malaikat Jibrail A.S memandang dirinya lalu bertanya kepada Sang Pencipta "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik ciptaan nya selain aku?". Lalu Allah S.W.T berfirman "Tidak". Kemudian malaikat Jibrail A.S berdiri dan melakukan solat sunat dua rakaat tanda syukur pada Allah S.W.T dan tiap-tiap rakaat itu adalah selama 20,000 tahun.
Setelah Jibrail A.S selesai bersolat, maka Allah S.W.T berfirman "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada makhluk pun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadah kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang Nabi yang mulia yang paling Aku cintai dan namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa. Sekiranya umat mereka itu mengerjakan solat sunat dua rakaat walaupun hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lalai serta serba kekurangan, maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, solat mereka itu lebih Aku sukai dari solat mu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku dan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku".
Lalu malaikat Jibrail A.S bertanya kepada Allah S.W.T "Ya Tuhanku, apakah hadiah yang akan Engkau berikan kepada mereka sebagai balasan ibadat mereka?". Allah S.W.T menjawab "Ya Jibrail, aku akan berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal mereka". Kemudian Jibrail A.S meminta izin dari Allah S.W.T untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah mendapat keizinan dari Allah S.W.T, maka pergilah malaikat Jibrail A.S dengan mengembangkan sayapnya dan terbang. Setelah 300 tahun terbang, maka malaikat Jibrail A.S pun turun berehat di bawah sepohon pokok, kerana merasa letih dan lemah. Bertanya lah malaikat Jibrail A.S kepada Allah S.W.T "Wahai Tuhanku, apakah aku telah menempuh separuh perjalanan, atau sepertiga atau seperempat?". Firman Allah S.W.T "Wahai Jibrail, jika kamu dapat terbang selama 3000 tahun, dan meskipun aku dapat memberikan kamu kekuatan seperti yang kamu miliki sekarang, sesungguhnya kamu tidak akan sampai sepersepuluh pun jarak syurga Ma'waa yang aku berikan kepada umat Muhammad yang melakukan solat sunat dua rakaat". MasyaAllah.
Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan 6 perkara dari pengetahuan manusia.
- Allah S.W.T menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
- Allah S.W.T menyembunyikan murka-Nya dalam maksiat.
- Allah S.W.T menyembunyikan nama-Nya Yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
- Allah S.W.T menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
- Allah S.W.T menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat lima waktu.
- Allah S.W.T menyembunyikan tarikh terjadinya hari kiamat di dalam semua hari.
No comments:
Post a Comment