Sunday, February 2, 2014

Sejauh Mana Cinta Kita Kepada Rasulullah S.A.W?


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saya ingin bertanya kepada anda yang mengaku menyembah Allah S.W.T dan mengaku bahawa Muhammad bin Abdullah S.AW itu adalah Rasul anda, pernahkah anda ingin berada disisi Rasulullah S.A.W? Tidak inginkah anda bersalaman dengan beliau dan memeluk erat beliau dan katakan pada beliau "Wahai Rasul kami, sesungguhnya kami sangat rindu padamu"? Tidakkah kita semua umat Islam dan umat Rasulullah S.A.W inginkan begini? Sudah tentu jawapan nya adalah YA!

Terdapat riwayat yang indah dari Rasulullah S.A.W, suatu hari para sahabat keluar dari rumah masing-masing. Saidina Abu Bakar R.A keluar dari rumahnya kerana sangat lapar dia mengikat sebiji batu di perutnya supaya dapat menahan kelaparan. Begitu juga Saidina Umar R.A yang mengikat perutnya dengan sebiji batu untuk menahan kelaparan. Apabila keluar sahaja dari rumah mereka, mereka terlihat Rasulullah S.A.W keluar dari rumah beliau dengan 3 biji batu yang terikat di perutnya!!!

MasyaAllah. Bayangkan lah hal ini wahai saudaraku sekalian. Rasulullah S.A.W seorang kekasih Allah, kelaparan yang ditanggung beliau melebihi para sahabat. Ketika kita dihidangkan dengan makanan yang sedap dan lazat, pernahkah kita terfikir bahawasanya Rasulullah S.A.W tidak pernah merasa sedikit pun makanan kita itu. Sahabat berkata "Demi Allah, Rasulullah S.A.W tidak pernah melihat roti putih. Demi Allah, beliau tidak pernah merasa pun roti putih".

Kita tidak perlu bertanya "Bagaimana caranya mencintai Rasulullah S.A.W?" Sebaliknya, tanyalah pada diri kita "Bagaimana mungkin kita tidak mencintai Rasulullah S.A.W?". Ketika Rasulullah S.A.W berada didalam rahim ibunya, sebuah cahaya terlihat dari Mekah ke Syria. Bahkan Allah S.W.T membelah bulan kerana Rasulullah S.A.W menunjuk bulan dengan jari beliau. Setiap nabi sebelum Rasulullah S.A.W diutus oleh Allah hanya untuk kaum nya sahaja. Tetapi Rasulullah adalah 'rahmatan lil alamin', rahmat untuk seluruh alam. Beliau diutus untuk umat manusia dari zaman beliau hidup sehingga ke hari kiamat. Nama beliau terukir di Arasy Allah S.W.T. Malahan pepohon dan batu-batuan memberikan salam dan naugan kepada beliau, tetapi mengapa kita tidak? Haiwan-haiwan merelakan diri mereka untuk dikorbankan kerana atas nama Rasulullah S.A.W dan terdapat sebuah kisah dimana sekerat daging beracun yang diberikan kepada Rasulullah S.A.W berkata "Wahai Kekasih Allah, janganlah engkau memakan aku kerana aku ini beracun".

Nabi Ibrahim A.S adalah 'Khalilullah' iaitu teman Allah, Nabi Isa A.S adalah 'Ruhullah' iaitu Ruh Allah,Nabi Musa A.S adalah 'Kalimullah' iaitu Kalimah Allah, tetapi nabi kita Muhammad S.A.W adalah 'Habibullah' iaitu Kekasih Allah. Dimana sahaja firman-firman Allah yang anda temukan dalam Al-Quran yang berbunyi "Patuhi Aku" iaitu patuh pada Allah S.W.T pasti akan disertai dengan firman "Patuhi Rasulullah S.A.W". Bagaimana mungkin kita tidak mencintai beliau?

Ketampanan wajah Rasulullah S.A.W begitu indah. Ada yang membandingkan dengan kisah Nabi Yusuf A.S dan Zulaikha dimana ketampanan Nabi Yusuf A.S boleh meyebabkan wanita-wanita yang melihatnya terpotong jari tangan sendiri. Aisyah R.A berkata "Wahai Zulaikha, sekiranya kamu melihat ketampanan kekasihku Rasulullah S.A.W, wanita-wanita tersebut bukan sahaja memotong jari dan tangan mereka, malah membelah dada dan memotong hati mereka". Bagaimana mungkin kita tidak mencintai beliau? 

Bagaimana mungkin kita tidak mencintai seseorang yang akan mencari dan memimpin kita di Padang Mahsyar nanti. Pada ketika itu semua orang akan menyebut "nafsi,nafsi" iaitu "diriku,diriku". Tetapi hanya Rasulullah S.A.W yang menyebut "ummati, ummati" iaitu "umatku, umatku".  Dari tangan beliau lah mengalir syafaat, dari tangan beliau lah Hari Kiamat dimulai. Beliau akan mengetuk pintu syurga dan penjaga pintu syurga akan bertanya "Siapa yang mengetuk pintuku?" dan beliau akan menjawab "Muhammad bin Abdullah". Lalu penjaga pintu syurga berkata "Kami telah menunggu kedatanganmu bertahun-tahun". Allah S.W.T berfirman "Pintu syurga ini tidak akan dibuka sehinggalah Kekasih-Ku datang dan mengetuk pintunya". Bagaimana mungkin kita tidak mencintai beliau? Rasulullah bersabda "Aku tidak mahu masuk ke syurga selagi semua umatku belum masuk kedalam nya". Bagaimana mungkin kita tidak mencintai beliau?

Firman Allah S.W.T "Jika kalian mencintai Rasulullah S.A.W maka kalian akan menjadi kekasih Allah S.W.T". Terdapat sebuah hadis yang sangat indah yang ingin saya kongsikan bersama saudara sekalian, sebuah hadis sahih dalam Hadis Riwayat Muslim sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang-orang yang mencintaiku adalah orang-orang yang datang setelahku, dan mereka berharap dapat mengorbankan keluarga dan harta mereka semata-mata untuk melihat aku walaupun sekali". Fahamkah anda semua siapa yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W itu? Siapa orang-orang yang datang selepas Rasulullah S.A.W? Beliau berbicara tentang KITA!!!

Rasulullah S.A.W bersabda "Akan datang orang-orang setelahku yang akan menjadi khalilku iaitu teman terbaikku di syurga" Teman terbaik Rasulullah S.A.W di syurga!!! Para sahabat berkata "Wahai Rasulullah, kamilah teman terbaikmu" Rasulullah S.A.W menjawab "Tidak. Kalian adalah sahabatku. Tetapi khalil, iaitu teman terbaikku adalah orang-orang yang datang setelahku. Dan mereka akan mencintaiku dan beriman padaku meskipun mereka belum pernah melihatku".

Jadi, adakah anda tergolong dalam golongan orang yang sanggup mengorbankan keluarga dan harta kerana ingin melihat Rasulullah S.A.W meskipun cuma sekali? Layakkah kita untuk menjadi teman terbaik Rasulullah S.A.W di syurga kelak? Sejauh mana cinta kita kepada Rasulullah S.A.W? Jawapannya terletak pada diri anda sendiri. Sama-sama kita renungkan dan selamat beramal. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment